Pages

Friday, August 13, 2010

Pemuda Pas Batu Gajah dakwa Hamidah tidak profesional




BATU GAJAH – Dewan Pemuda Pas Kawasan Batu Gajah mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman membelakangkan undang-undang dengan tidak membuat permohonan permit daripada polis.

Ketuanya, Ammar Rosdi berkata, beliau kecewa dengan apa yang berlaku dan mendakwa Hamidah mempunyai motif politik apabila jamuan doa selamat dan tahlil bertukar menjadi ceramah.

Menurutnya, lebih mengecewakan pembesar suara digunakan sehingga mengganggu ceramah Pas bersebelahan.

“Saya sedih sikap beliau yang tidak profesional. Kami lihat ada pihak berniat jahat cuba mengganggu program kami malam itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Ammar memuji polis kerana profesional menjaga keamanan dan kelancaran majlis malam itu walaupun ada gangguan.

“Ironinya selepas ditegur Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli meminta polis mengambil tindakan sebelum sesuatu perkara buruk berlaku barulah pembesar suara itu dimatikan.

“UMNO kini kehilangan sokongan dan mandat rakyat sehingga terpaksa melakukan pencabulan walau menyalahi undang-undang. Kami menyeru rakyat negeri ini bangkit menentang ketidakadilan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian mendapatkan maklum balas Hamidah yang menyatakan pihaknya telah merancang lebih awal lagi kenduri tahlil dan doa selamat itu, malah diadakan di rumah Ketua Cawangan UMNO Taman Lembah Permai.

“Kita adakan kenduri tahlil dan doa selamat malah turut diadakan bacaan Yasin pada majlis itu. Kita turut menjemput penceramah untuk memberikan ceramah berkenaan isu serta persiapan umat Islam di sini sebelum menyambut Ramadan.

“Namun begitu, sepanjang program berkenaan, kami tidak menyentuh sedikit pun mengenai politik, malah saya boleh sahaja mengambil mikrofon untuk bercakap, namun saya tidak lakukan walaupun di pihak sebelah menghentam dan mengutuk saya, tetapi ia bukan cara saya kerana niat kami pada hari itu kita mahu adakan bacaan Yasin dan kenduri tahlil,” katanya.

Hamidah berkata, beliau turut menyatakan pihaknya tidak dimaklumkan bersebelahan dengan program beliau sedangkan ia telah diatur dengan lancar sebelum ini.

“Saya sendiri tidak menjangkakan akan bertembung malah adakah saya perlu membatalkan majlis sedangkan jemputan sudah hadir pada malam itu.

“Mengapa mereka hendak mempertikaikan mengenai isu ini malah saya sendiri boleh mempertikaikan kenapa mereka boleh adakan ceramah pada masa yang sama sedangkan tidak ada banting yang naik dan petang itu barulah diberitahu ia bertembung,” katanya.

Hamidah turut mencabar bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat, Ir Radzi Zainon untuk berdebat secara terbuka bagi mengenai isu semasa.

“Saya cabar beliau untuk bersemuka dengan saya di atas pentas dan kita panggil penyokong kedua-dua parti akan menilai sendiri malah saya akan jawab segala tuduhan yang dilemparkan kepada saya,” katanya.

0 comments:

Post a Comment